Tiba-tiba aku berubah menjadi seorang pelancung di tempat sendiri. Walaupun sudah hampir 15 tahun menjadi warga Kuala Lumpur, aku jarang sekali mengambil masa yang khusus untuk melawat sekitar Kuala Lumpur. Kesuntukan masa dan tumpuan terhadap tugas sedikit sebanyak menghalang aku dari menjelajah Kuala Lumpur. Walaupun tahu serba sedikit tentang tempat-tempat di bandaraya, ianya terjadi secara tidak langsung apabila keluar untuk berurusan.
Memandangkan hari ini cuti umum sempena tahun baru 2010, dengan "bersenjatakan" kamera digital aku keluar ke Kuala Lumpur untuk melancung secara resmi.
Rasanya cukup mudah bagi melancung di Kuala Lumpur yang selalunya sesak dengan kenderaan. Apabila berada dalam kesesakan sudah pastu stress akan wujud dalam diri dan dengan memandu sendiri kereta, saya tidak dapat melihat dengan bebas kerana pemandangan terpaksa ditumpukan pada jalan raya. Kuala Lumpur menyediakan satu kemudahan yang cukup baik untuk membolehkan seseorang itu melancung dan melihat sekitarnya dengan mudah dan murah.
Perkhidmatan Hop On Hop Off City Tour adalah sepatutnya penjadi pilihan bagi mereka yang ingin melancung di Kuala Lumpur. Inilah perkhidmatan yang saya gunakan untuk melancung kali ini.
Saya turun dari stesen monorail Bukit Bintang dan terus ke kaunter informasi KL Hop On Hop Off yang terletak di hadapan Wisma Peladang, Bukit Bintang. Kaunter tersebut mengikut petanya merupakan perhentian yang no 4. Memandangkan pada masa ini cuti sekolah, pihak Hop On Hop Off mengadakan proosi untuk pengunjung tempatan. Tiketnya hanyalah RM 10.00 untuk perjalanan tanpa had sehingga 7.30 malam.
Bas pertama datang. Saya tidak naik bas ini kerana matlamat saya ialah hendak menaiki bus yang ada open deck. Jika hendak mengambil gambar maka bas open deck patut menjadi pilihan. Walaupun berada di dek luar agak panas tetapi berbaloi kerana dapat melihat persekitaran dengan lebih selesa tanpa sebarang halangan pemandangan. Dalam perjalanan itu bas boleh dikatakan penuh dan sebahagian besar sudah semestinya pelancung dari luar negara.
Bas bertolak dari Bukit Bintang itu dan melalui Tengkat Tong Shin dan Jalan Ceylon sebelum masuk ke Jalan Raja Chulan. Dari situ bas terus ke Petaling Street melalui Jalan Sultan dan kemudian ke hentian Central Market.
Dari situ bas terus ke Istana Negara. Di hentian ini bas menunggu sebentar. Mungkin kerana pelancung tidak mengambil masa yang lama untuk berada di sini menyebabkan bas menunggu. Kemudian bertolak pula ke KL Central dan Muzium Negara.
Selepas Muzium Negara bas meneruskan perjalanan ke Taman Tasik Perdana. Saya turun di hentian 13. Hentian ini bagi mereka yang ingin melawat Tugu Negara dan Taman Tasik Perdana. Memandangkan hari ini hari Jumaat dan sudah masuk waktu untuk sembahyang Jumaat, saya berpeluang sembahyang Jumaat di Mesjid Bukit Aman. Pada mulanya saya jangka dapat sembahyang di Mesjid Negara.
Selesai sembahyang saya berjalan ke Taman Burung Kuala Lumpur. Taman Burung Kuala Lumpur adalah merupakan World's Largest free flight walk-in aviary.
Saya tidak masuk ke dalam taman memandangkan kawasannya yang luas dan saya tidak mempunyai masa yang banyak. Satu lagi faktor ialah harga tiket untuk masuk agak mahal dan saya dapat mengagak tidak banyak yang saya dapat lihat di dalam. Jadi tentu tidak berbaloi dengan harga tiket yang dibeli. Jika hendak menikmati burung perlulah merancang untuk menghabiskan sepenuh masa di dalamnya untuk mendapat balik pulangan pada harga tiket. Jika sekadar hendak berjalan dan melihat burung seimbas lalu adalah tidak memadai.
Selepas keluar dari kawasan pintu utama KL Bird Park itu saya ke Taman Orkid. Memandangkan hari ini cuti, maka pengunjung dikenakan tiket RM 1.00 untuk masuk. Bacalah apa yang saya nampak dalam Taman ini di SINI.
Taman Orkid ini sebenarnya adalah berkembar dengan Taman Bunga Raya iaitu bunga kebangsaan negara kita. Lihat di SINI apa yang saya lihat.
Tunggu bas Hop On Hop Off di stop no 14. Lama juga. Lebih kurang 40 minit baru bas datang. Apa yang menariknya ialah bas itu juga bas yang sama aku naik sebelum itu. Malah terjumpa juga beberapa orang yang sama yang dalam perjalanan tadi. Perhentian seterusnya ialah Mesjid Negara sebelum ke Dataran Merdeka. Ada aktiviti di Dataran Merdeka.
Seronoknya dapat main bola di atas jalanraya.
Di atas dek terbuka memang ramai penumpang dan tengoklah kreativiti kanak-kanak ini untuk mencari tempat duduk setelah penat berdiri.
Perjalanan diteruskan melalui Jalan Raja Laut, Jalan Ipoh dan kemudian masuk ke Jalan Tun Razak. Bagi mereka yang ingin merakan keindahan Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur, bersiap sedialah dengan kamera masing-masing kerana dari sini dapat merakam keindahan kedua-dua ikon Kuala Lumpur itu. Lihatlah foto-foto yang diambil dari dek terbuka bas.
Salah sebuah bangunan yang baru siap dengan rekabentuk yang menarik. Ianya ialah The Oval yang terletak di persekitaran KLCC dan merupakan condominium mewah terletak di Lorong Kuda.
Destinasi seterusnya ialah MATIC Jalan Ampang, iaitu pusat penerangan pelancungan Malaysia. Dulunya Dewan Tunku Abdul Rahman sebelum neneruskan perjalanan ke perhentian seterusnya Menara Kuala Lumpur. Sewaktu melintasi menara,kelihatan ada aktiviti Flying Fox sedang berlangsung. Bagi mereka yang ingin mencuba aktiviti ekstrim ini bolehlah mencuba.
Destinasi terakhir sebelum menamatkan satu pusingan Hop On Hop Off ialah Karyaneka selepas menurunkan penumpang di Mandarin Oriental di Kuala Lumpur Convention Centre yang juga merupakan salah satu perhentian bas itu. Perjalanan ke Karyaneka adalah melalui Jalan P. Ramlee yang merupakan pusat hiburan waktu malam bagi pengemar clubbing. Kesan sambutan Tahun Baru masih ada. Foto di bawah salah satu tempat berhibur di Jalan P. Ramlee.
Karyaneka adalah merupakan tempat untuk melihat sendiri aktiviti seni kraf tempatan.
Namun apa yang menarik dengan perjalanan ini baru aku tahu di mana terletaknya The Royale Chulan Hotel, tempat berlangsungnya majlis pernikahan anak Chef Wan, Serena dengan pasangannya Salehudin.
Jalan Bukit Bintang adalah normal. Maksud aku normal kerana adanya kesesakan jalan. Inilah Kuala Lumpur, dalam pahitnya hidup di kota metropilitan, ada manisnya.
Perjalanan aku berakhir di stesen no 6 di mana aku memulakan perjalanan. Jam sudah menunjukkan pukul 5.45 petang.
No comments:
Post a Comment