Ini merupakan bahagian kedua dari kunjungan saya ke Taman Bukit Jalil. Lihat posting pertama yang saya tulis sebelum ini. Saya terpaksa membahagikan catatan kunjungan saya ke Taman Bukit Jalil kepada dua bahagian atas sebab dua persekitaran yang berbeza dan juga terlalu panjang untuk saya rangkumkan sebagai satu posting. Bahagian kedua ini merupakan kunjungan ke zon lapang yang sudah dilanskapkan dengan monumen-monumen dan tapak aktiviti juga merupakan zon yang menjadi tumpuan pengunjung untuk menjalankan aktiviti seperti beriadah atau bersiar-siar. Zon ini boleh dimasuki melalui pintu utama yang terletak bertentangan dengan persimpangan ke Bukit Jalil Golf and Country Club.
Sebaik sahaja melangkah masuk tiang tanda isyarat menarik perhatian saya. Amat jarang sekali kita akan dapati penunjuk arah kiblat dipaparkan secara umum pada penanda arah. Inilah saya rasa satu keistemewaan Taman Bukit Jalil ini dan ucapan tahniah patut diberikan kepada pihak yang bertanggungjawab yang terlintas untuk meletakkan arah kiblat ini. Semoga niatnya diberkati Allah.
Apakah maksud di sebalik meletakkan tanda arah kiblat? Bagi saya meletakkan tanda arah kiblat di pintu masuk adalah merupakan satu peringatan kepada pengunjung agar jangan membuat maksiat di dalam taman ini. Ini kerana bila kita teringat kepada kiblat, kita pasti akan nampak gambaran Kaabah dan Mekah. Jika Kaabah dan Mekah mengingati kita tentang Agama Islam yang suci ini maka kita akan takut kepada Allah. Manusia yang takut kepada Allah tidak akan mengingkari laranganNya. Disamping itu juga ia memberikan satu sindiran kepada pengunjung apakah kiblat kita sewaktu berada di dalam taman.
Pengunjung ke zon ini juga disambut dengan taman Heliconia di sebelah kiri. Taman ini dipenuhi dengan pokok-pokok heliconia yang segar-segar. Tentunya keindahan taman ini akan lebih terserlah sekiranya pokok-pokok Heliconia ini mekar dengan bunganya yang berwarna terang dan kontras dengan daun-daunnya.
Bawah: Satu pemandangan yang memberikan ketenangan sebaik sahaja berada di dalam kawasan taman.
Bawah: Pokok-pokok Eucalyptus yang tumbuh di taman ini. Pokok seperti ini biasanya terdapat di kawasan beriklim hawa sederhana.
Satu lagi keistemewaan ialah perancangan taman ini mengambil kira orang kurang upaya (OKU) dengan menyediakan juga tempat khas untuk mereka. Ini jarang kita lihat di taman-taman awam yang lain.
Tarikan utama dalam zon ini ialah laman antarabangsa. Binaan-binaan arca dan monumen yang sinonim dengan negara-negara berkenaan menghiasi sekitar kawasan ini. Negara-negara yang dipaparkan dalam zon ini termasuklah England, Belanda, Canada, Peru, Jepun, China, Indonesia, Thailand dan juga Malaysia.
Bawah: Laman Indonesia
Bawah: Ikon negara Belanda iaitu kincir air di Laman Belanda.
Bawah : Moon Gate yang mengambarkan negara China yang terdapat di Laman China
Bawah: Totem Pole satu contoh hasil seni yang terdapat dalam taman Canada
Bawah: Laman Jepun
Bawah: Seperti juga zon berhutan, zon ini juga disediakan dengan litar untuk refleksologi.
Sewaktu berjalan-jalan saya terdengar bunyi musik yang lembut berkumandang. Pada awalnya saya menyangka ianyamungkin musik yang datang dari blok apartment yang terletak bersebelahan taman. Namun demikian apabila mendekati saya ternampak sekumpulan pengunjung yang berbangsa China sedang berehat nampak juga kain rentang ini.
Sekumpulan pengunjung kaum China sedang melakukan satu senaman yang dinamakan Praise Dance. Majoriti mereka adalah di kalangan pertengahan usia dan dari pengamatan saya, ia sesuai untuk dilakukan oleh golongan seperti ini memandangkan intensitinya tidak begitu tinggi jika berbanding dengan senamrobik. Satu keistemewaan yang terdapat pada masyarakat China ialah dengan adanya senaman-senaman yang melibatkan latihan pada sistem pernafasan seperti Tai Chi dan ia adalah baik untuk membantu sistem peredaran darah. Jika darah dalam tubuh kita berjalan lancar, maka seluruh tubuh kita akan mendapat bekalan oksigen yang mencukupi dan hasilnya tubuh yang sihat.
Selain aktiviti senaman dan riadah secara bebas setiap hari, taman ini juga menyediakan tapak untuk penganjuran Hari Keluarga dan lain-lain aktiviti sosial. Pengunjung juga boleh menjamu dan melihat ikan-ikan air tawar khususnya keli yang dipelihara di dalam tasik berebut-rebut untuk mendapatkan makanan yang ditaburkan.
No comments:
Post a Comment